Isnin, 1 Januari 2001

Penubuhan SK Parish

Sekolah Kebangsaan Parish telah ditubuhkan pada tahun 1946 hasil gabungan 5 buah kampung iaitu Kg. Masjid, Kg. Pulat, Kg. Suyong, Kg. Baru dan Kg. Kuala Balingian. Penubuhan sekolah ini adalah atas usaha Tuan Haji Abdul Rahman Sanai dan pembantu beliau, Tuan Haji Ismail Haji Osman dengan bantuan penduduk-penduduk kampung yang terlibat. Setelah siap sekolah ini diberi nama “GOVERNMENT MALAY SCHOOL, BALINGIAN” di bawah kuasa pemerintahan British Military (BMA) dan mengajar Bahasa Melayu sahaja. Guru Besar pertama ialah Cikgu Bujang bin Ahmad dari Oya dan dibantu oleh Cikgu Taha bin Mansur dengan jumlah murid seramai 81 orang. 

Pada tahun 1952, bangunan pertama yang sudah buruk digantikan dengan sebuah bangunan baru yang lebih besar dan tegap hasil gotong-royong penduduk kampung menggunakan bahan-bahan seperti tiang belian, papan dan atap belian.

Pada tahun 1957, pihak pentadbir sekolah cuba untuk menukar nama sekolah ini kepada SEKOLAH ORANG KAYA SULAIMAN, Balingian sempena nama pembesar yang mula-mula menduduki daerah ini, tetapi pihak Balingian Parish Council meminta bukti tentang sumbangan beliau terhadap sekolah. Oleh kerana tiada bukti kukuh nama sekolah ini telah ditukar kepada “Parish Council School Balingian”. Di bawah kuasa council di mana murid-murid dikenakan yuran sebanyak RM1.00. 

Pada tahun 1968, pihak kerajaan pusat telah membelanjakan sebanyak RM23,000.00 untuk membina sebuah bangunan baru yang mengandungi 6 buah bilik kelas, sebuah bilik guru besar dan masing-masing sebuah bilik perpustakaan serta stor. Bangunan baru ini telah dirasmikan oleh Menteri Kebajikan Tempatan, Abang Ikwan Zaini pada 24 Oktober 1968. Selepas pemansuhan yuran persekolahan, ramai kanak-kanak mula mendaftar dan bersekolah di sini.

Bangunan Sekolah Pada 1968

Pada tahun 1981, nama sekolah ini telah ditukar kepada SRK Parish Balingian. Selang sepuluh tahun kemudian iaitu pada tahun 1991, bangunan asrama sekolah telah terbakar. Pihak kerajaan telah mengambil langkah drastik untuk membina semula bangunan asrama dalam tempoh masa yang singkat bagi menggantikan bangunan yang terbakar itu. 

Pada tahun 2000, kerajaan pusat telah memperuntukkan RM6 juta untuk membina bangunan konkrit yang telah siap sepenuhnya pada tahun 2001. Pada tahun 2006 pula, Kementerian telah memberikan peruntukan untuk kerja-kerja baikpulih dan penyelenggaraan bangunan dengan kerja-kerja mengecat serta menaik taraf blok pentadbiran dan bilik guru serta pembinaan sebuah blok makmal komputer.



Bangunan Sekolah Pada 2001

Kini SK Parish berwajah baru dengan kemudahan seperti bilik guru berhawa dingin serta kecerian kawasan sekolah dengan kerjasama pihak PIBG serta sumbangan bekas pelajar SK Parish.



Bangunan Sekolah Pada 2018